DHRRA MALAYSIA | Building Resilient Communities

Press statement

Home / Resources / Press statement

Malaysiakini



malaysiakini: NGO gesa tempoh permohonan warganegara dipendekkan

Sebuah NGO yang membantu rakyat tempatan berkenaan isu-isu kewarganegaraan menggesa kerajaan persekutuan campur tangan agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memendekkan tempoh memproses permohonan kewarganegaraan.

Presiden Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA), S Saravanan berkata tempoh dua tahun untuk memproses permohonan ketika ini terlalu panjang.

“Kami cadangkan tempoh proses ini dipendekkan kepada kurang daripada setahun. Contohnya, kes-kes warga asing dan kes-kes berkaitan siasatan polis yang membuat permohonan boleh mengambil proses tempoh sebanyak setahun.

“Tetapi kes lain seperti dari kad merah ke biru (pemastautin tetap ke warganegara) perlu diselesaikan dalam masa enam bulan.

“Manakala, permohonan kewarganegaraan 15A (permohonan anak atau anak angkat kepada warganegara) perlu diselesaikan dalam masa tiga bulan,” ujarnya yang menjelaskan bahawa permohonan kewarganegaraan 15A hanya boleh dibuat kepada yang berusia 21 tahun ke bawah.

Jelas Saravanan, sebanyak 4,023 kes yang dimohon sejak tahun 2014 hingga 2017 sehingga kini masih dalam proses.

Kelewatan JPN ini, katanya, mengakibatkan ramai yang telah membuat permohonan, hilang sabar dan tidak lagi peduli dengan kepentingan isu kewarganegaraan.

“Kami (DHRRA) membantu rakyat tempatan sejak 15 tahun lalu. Mengikut SOP (Piawaian Prosedur Operasi) JPN, sebarang permohonan perlu diselesaikan dalam masa dua tahun. Tetapi, ini ada kes sampai lima tahun masih tidak diselesaikan.

“Setiap kali kami melawat, pegawai JPN memberi pelbagai alasan berkenaan kelewatan proses.

“Ada pemohon diminta membuat permohonan lebih daripada tiga kali menyebabkan ramai yang hilang sabar dan tidak lagi peduli dengan proses permohonan,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, Saravanan turut menggesa pejabat JPN di seluruh negara mengeluarkan SOP yang seragam dan mudah difahami.

“Kami ada pengalaman beberapa kes ditolak di satu pejabat, tetapi diterima di pejabat lain.

“Ini sangat menyukarkan kami untuk membantu rakyat yang menghadapi isu kewarganegaraan.

Kami nak JPN mengeluarkan satu SOP yang mudah untuk difahami dan diikuti semua pegawai-pegawai JPN,” jelasnya lagi.

by

B Nantha Kumar, Malaysiakini
15 Jan 2019, 6:15 petang (Dikemaskini 15 Jan 2019, 6:15 petang)



img
Recent Reports
Recent Press
The Economic Times
Free Malaysia Today
TheSentral
Recent Publications

Building Resilient Communities