DHRRA MALAYSIA | Building Resilient Communities

Press statement

Home / Resources / Press statement

Malaysiakini

Community Development


malaysiakini: Lepas 99 tahun, Kuppamah akhirnya dapat status warganegara

Seorang warga emas akhirnya mendapat taraf kewarganegaraan selepas terpaksa menunggu selama 99 tahun.

P Kuppamah hari ini menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memintanya hadir ke mana-mana pejabat JPN untuk proses sijil kewarganegaraan.

Lahir di Sentul, Kuala Lumpur pada 1920, ibu bapanya berhijrah ke Malaysia pada awal dekad 1900-an.

Dia berkahwin dan mempunyai seorang anak, dan bekerja sebagai guru sambilan di sebuah sekolah Tamil pada era pentadbiran British.

Suaminya meninggal dunia pada tahun 1955. Kuppamah kini dijaga cicitnya selepas anaknya meninggal dunia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada JPN dan Kementerian Dalam Negeri kerana meluluskan permohonan saya selepas 11 kali memohon.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) yang banyak membantu serta membayar yuran RM200 untuk proses permohonan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia bagaimanapun membangkitkan kekecewaannya terhadap seorang anggota parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya tidak melayan permintaannya agar menyelesaikan masalah itu.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan PH, tetapi pada masa sama sedih dengan seorang anggota parlimen ini.

Setiap kali saya ke pejabatnya, saya diminta tunggu beberapa jam sebelum dihantar pulang. Dia kata tiada wang untuk bayar yuran permohonan saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden DHRRA S Saravanan berkata pihaknya melalui lima proses – bermula pada 2013 – bagi mendapatkan taraf warganegara untuk Kuppamah.

“Ini kes seorang guru sambilan. Bagaimana dengan nasib petani, penoreh getah dan mereka yang tidak berpelajaran yang memohon untuk diberi taraf warganegara?” soalnya ketika dihubungi.

Justeru beliau berharap Kementerian Dalam Negeri dapat merangka satu mekanisme yang lebih berkesan untuk menangani masalah individu tanpa warganegara di Malaysia.

B Nantha Kumar

malaysiakini

4 Feb 2019, 4:37 petang (Dikemaskini 4 Feb 2019, 4:37 petang)



img
Recent Reports
Recent Press
The Economic Times
Free Malaysia Today
TheSentral
Recent Publications

Building Resilient Communities