Home > Current News > DHRRA membawa sinar Deepavali

TELUK INTAN, Perak – Seramai 16 kanak-kanak, remaja dan warga emas menerima “hadiah” yang disifatkan paling berharga menjelang Deepavali tahun ini.

Selepas hidup terumbang-ambing kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, mereka bersyukur dan tersenyum lebar sewaktu menerima dokumen berkenaan dalam suatu majlis ringkas di Teluk Intan, baru-baru ini [4 November 2015].

Sejumlah 7 kanak-kanak, 5 remaja dan 4 warga emas menerima dokumen masing-masing daripada presiden Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia), Saravanan M. Sinapan.

Menurut Saravanan, kesemua individu berkenaan dikenal pasti menerusi kempen dari rumah ke rumah “Projek Mendaftar Anak Malaysia” yang dibuat oleh pegawai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sejak beberapa tahun lalu.

“Mereka pernah cuba mendapatkan dokumen pengenalan diri melalui beberapa pertubuhan dan individu sebelum ini, tetapi semuanya gagal kerana tidak mengikut prosedur.

“Hasil usaha pegawai DHRRA Malaysia dengan kerjasama padu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini, 16 orang menerima dokumen yang mengesahkan taraf kewarganegaraan mereka,” kata Saravanan ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Kesemua 4 warga emas berumur 62-72 tahun menerima sijil kewarganegaraan, manakala 5 remaja (13-17 tahun) menerima MyKad, sementara 7 kanak-kanak (2-6 tahun) menerima sijil kelahiran.

Kanak-kanak dan remaja terbabit meluahkan rasa gembira dan terharu kerana kini berpeluang meneruskan pelajaran di sekolah. Sebelum ini, mereka menghadapi masalah kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Bagi keempat-empat warga emas terbabit, mereka bersyukur kerana akhirnya memperoleh dokumen yang mengesahkan mereka lahir dan membesar di negara ini.

“Kami gembira kerana akan dapat menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di tanah air tercinta,” kata salah seorang daripada mereka dengan penuh haru.

DHRRA Malaysia yang beribu pejabat di Petaling Jaya menjalankan kempen di seluruh negara bagi membantu masyarakat pelbagai kaum yang menghadapi masalah mendapatkan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Hasil kerja turun padang sejak lebih sedekad lalu, selain memberikan kesedaran tentang kepentingan mendaftar perkahwinan dan kelahiran, NGO ini turut membantu orang ramai yang menghadapi masalah perundangan, pendidikan, kewangan dan keganasan rumahtangga.

Orang ramai boleh melayari www.dhrramalaysia.org.my atau menghubungi talian 03-78657271 untuk sebarang bantuan berkaitan.